Pengerusi Majlis Belia Felda negeri, Izan Asmawi Habidan berkata, langkah kerajaan itu hanya akan menyebabkan para pekebun kecil tidak lagi mampu mengusahakan tanaman itu pada masa depan.

"Sudah pastinya kebanyakan pekebun ini tidak mampu mengeluarkan modal sendiri yang banyak bagi membiayai penanaman semula ini. Jika dahulu kerajaan boleh bantu, kenapa kali ini perlu diberhentikan oleh kerajaan baharu.

"Saya harap kerajaan dapat kaji semula keputusan ini. Sudahlah peneroka semakin terhimpit, janganlah ditekan lagi dengan perkara yang boleh membebankan peneroka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Industri Utama, Teresa Kok mengumumkan kerajaan tidak bercadang mewujudkan kembali skim bantuan penanaman semula kelapa sawit kepada pekebun kecil yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Menurut Teresa, skim yang dilaksanakan melibatkan pekebun kecil persendirian itu tidak adil kerana tidak melibatkan keseluruhan pekebun kecil termasuk pekebun tersusun di Felda dan Felcra.

Untuk rekod, di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) menyediakan peruntukan khas bantuan kewangan kepada pekebun kecil sawit iaitu RM7,000 bagi setiap hektar untuk tujuan menanam semula pokok yang sudah tua dan tidak produktif.

Tambah Izan Asmawi, kerajaan perlu mencari jalan bagaimana untuk menaikkan harga jualan dan pasaran hasil pekebun kecil dan bukannya menyekat inisiatif sedia ada sebelum ini.

"Jika harga kembali seperti tahun-tahun sebelum ini, pekebun-pekebun ini, Insya-Allah tidak akan mengalami pelbagai masalah," katanya. - UTUSAN ONLINE