Aktivis masyarakat, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar berkata, ini berikutan pelbagai isu ditimbulkan sejak kebelakangan ini termasuk penghinaan terhadap anggota tentera oleh seorang ahli perniagaan dan penentangan tulisan khat dan Jawi oleh sekumpulan pendesak Cina yang mahukan perkara itu tidak dimasukkan dalam mata pelajaran di sekolah vernakular.

Dalam hal ini, kata beliau, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan sebuah pertubuhan sebagai rasis perlu diberi perhatian.

“(Pada awalnya) tidak ada pemimpin Melayu yang berani sambut kenyataan Tun (Dr. Mahathir) yang menyatakan Dong Zong rasis, tidak pernah suka Melayu dan tidak mahu anak-anak mereka bercampur dengan anak Melayu.

“Hanya Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof yang bangun bersama Tun menentang kumpulan rasis ini,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Menurut Zaienal, sudah sampai masanya parti-parti Melayu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO insaf dan mencari titik perpaduan dalam memastikan hak masyarakat Melayu Islam dapat dipertahankan. - UTUSAN ONLINE