Istana Abu Bakar yang dibuka untuk kunjungan orang ramai sejak pukul 10 malam semalam tidak putus-putus dikunjungi segenap lapisan masyarakat.

Ziarah penghormatan oleh rakyat jelata dan tetamu kenamaan adalah sehingga 11 pagi ini manakala ziarah penghormatan terakhir untuk raja-raja, Yang Dipertua Negeri dan Perdana Menteri antara pukul 11 pagi hingga 1 petang.

Selepas mendapat perkenan, jenazah Almarhum akan dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan untuk disembahyangkan.

Dari istana Sultan Abu Bakar, jenazah Almarhum akan dibawa bersemayam di atas usungan pedati diraja untuk ditarik oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selepas solat jenazah dilakukan, jenazah Almarhum kemudian diiring ke Makam Diraja Pekan untuk Istiadat pemakaman diraja.

Dalam pada itu, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, dia bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 5 pagi ini bagi memberi penghormatan terakhir.

“Saya sedih dan berasa satu kehilangan yang besar dan sentiasa teringat pesanan Almarhum supaya memimpin koperasi dengan baik serta menjaga institusi orang Melayu itu,” katanya ketika ditemui. - UTUSAN ONLINE