Menariknya, aiskrim diet yang diusahakan oleh Abdul Wahab Hussin, 42, dan isteri Azlini Ismail, 37, dari Kampung Repek dekat sini menggunakan buah-buahan dan sayur-sayuran serta campuran susu segar.

Abdul Wahab berkata, bukan itu sahaja aiskrim diet itu turut dihasilkan dengan menggunakan kandungan gula yang rendah.

“Biasanya mereka yang sedang diet tidak sanggup melanggar ‘pantang’ dengan memakan aiskrim kerana disebabkan oleh kandungan gula.

“Namun selepas saya memperkenalkan hidangan ini ia mendapat permintaan tinggi apabila mereka yang diet sudah tidak takut untuk menjamahnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Wahab memberitahu, aiskrim diet itu dijual dengan harga RM2 sebatang.

Katanya, golongan diet tidak perlu khuatir kerana aiskrim itu dihasilkan mengikut jumlah kalori diperlukan oleh badan.

Ujarnya, selain aiskrim diet dia turut menyediakan pelbagai pilihan perisa menarik kepada penggemar kudapan itu.

"Antara perisa aiskrim diet yang dijual lobak merah, tembikai, kiwi dan campuran buah-buahan.

“Bagaimanapun, aiskrim perisa 'kit-kat' dan 'oreo' merupakan merupakan produk yang paling laris di pasaran ketika ini yang dijual dengan harga RM1 sebatang,” katanya. - UTUSAN ONLINE