Bagi peguam dan aktivis Concerned Lawyers For Justice (CLJ), Aidil Khalid, untuk mengelakkan hal seperti itu berlaku, kerajaan sepatutnya berunding dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum menandatangni sebarang perjanjian.


“Ya. Patut runding dulu baru sign (tandatangan), ini sudah sign baru kelam-kabut,” katanya dalam laman Facebook sebagai membalas reaksi pengikut laman media sosialnya itu semalam.


Menerusi penjelasannya, Aidil menganggap pusingan U yang dilakukan oleh kerajaan itu adalah tidak sihat kerana keputusan dibuat bukan berdasarkan fakta dan ilmu yang benar, tetapi semata-mata berdasarkan ketakutan (fear-mongering).


Beliau turut membangkitkan persoalan sekiranya benar ada pertikaian mengenai kedudukan Statut Rom, mengapakah raja-raja, melalui Yang di-Pertuan Agong tidak menggunakan kuasa dan budi bicara Seri Paduka di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk merujuk isu itu ke Mahkamah Persekutuan.


Menurutnya, Perkara 130 memperuntukkan bahawa, Yang di-Pertuan Agong boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam Mahkamah terbuka.


“Alangkah baiknya jika isu seperti ini diputuskan melalui jalan yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri, dan bukan melalui tindakan pusingan U hanya kerana permainan mencetuskan ketakutan pihak-pihak tertentu,” katanya.

Aidil merupakan antara pengamal dan aktivis undang-undang yang membantah hasrat meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).-UTUSAN ONLINE