Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Hashim Salleh berkata, meskipun terdapat logo halal, namun belum tentu mematuhi piawaian konsep halal berdasarkan Islam.

“Orang kita ini masih cende­rung dan suka memilih kedai atau restoran yang belum pasti halalnya. Saya tidak faham selera orang Melayu yang mudah terperdaya de­ngan makanan-makanan luar se­perti makanan Korea, makanan Cina yang tidak pasti statusnya.

“Memang ada label halal tetapi kadang-kadang label halal da­ripada luar negara boleh diragui berbanding logo halal yang ada dalam negara kita sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Kempen Beli Produk Muslim di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Ketua Sekretariat Ge­rakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya.

Sementara itu, Nadzim ber­kata, menerusi kempen itu, PPIM dengan kerjasama Ummah komited untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi Islam dengan mengetengahkan penggunaan produk dan perkhidmatan Muslim.

“Kempen ini dilihat mampu menanam semangat saling bantu-membantu dalam ekonomi umat Islam serta usaha memperkenalkan selain menggalakkan pengguna untuk memilih produk dan perkhidmatan milik usahawan Muslim.

“Kempen ini sekali gus dapat menggalakkan orang Islam membayar zakat perniagaan dan mempromosi konsep membeli sambil beramal untuk mendapat keberkatan,” ujarnya.