Pelaksanaan cukai baharu itu melibatkan perkhidmatan pengendalian taman hiburan; perkhidmatan penyediaan pembrokeran dan penaja jaminan; perkhidmatan pembersihan dan perkhidmatan penyediaan latihan atau tunjuk ajar.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, penambahan skop perkhidmatan cukai baharu itu juga dijangka bakal membabitkan anggaran antara 5,000 hingga 10,000 syarikat berdaftar di seluruh negara, selain tidak membebankan golongan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Secara keseluruhan, JKDM menjangkakan akan ada penambahan hasil oleh kerajaan pada tahun depan yang akhirnya hasil (SST) ini dikembali semula kepada rakyat, termasuk kepada golongan B40.

“Sehubungan itu, mana-mana syarikat yang mempunyai perkhidmatan dan nilai perkhidmatan bercukai melebihi RM500,000 setahun sudah boleh mendaftar bermula esok atau sebelum 28 Februari depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengumumkan pelaksanaan SST terhadap empat skop perkhidmatan baharu itu sempena lawatan beliau ke Melaka, di sebuah hotel petang tadi.

Yang turut hadir, Pengarah JKDM Melaka, Tuang Aleong dan Timbalan Pengarah JKDM negeri (Pengkastaman/Cukai Dalam Negeri), Noriah Abd. Rahman.

Subromaniam berkata, mulai esok juga JKDM akan mengecualikan cukai perkhidmatan kepada orang berdaftar SST dalam Kumpulan G (kumpulan profesional) yang memberikan perkhidmatan sama kepada orang berdaftar lain dalam Kumpulan G.

“Berikutan pengecualian cukai perkhidmatan ini, kita menjangkakan ia akan memberi manfaat kepada 20,000 hingga 25,000 syarikat yang menawarkan perkhidmatan profesional dan pengiklanan,” katanya. - UTUSAN ONLINE