Bagaimanapun, menurut Pengarah Pendidikan negeri, Dr. Mahanom Mat Sam, prestasi GPN bagi sekolah luar bandar meningkat 0.02 peratus iaitu daripada 4.89 peratus pada 2017 kepada 4.87 peratus tahun lalu.

Tambahnya, prestasi calon yang layak mendapat sijil juga lebih baik iaitu sebanyak 82.84 peratus tahun lalu berbanding 82.44 peratus bagi 2017.

Keputusan itu, jelas beliau, berdasarkan seramai 15,571 calon yang berjaya mendapat sijil daripada keseluruhan 19,023 pelajar yang menduduki SPM tahun lalu.

“Selain itu, seramai 12 calon SPM daripada tujuh buah sekolah di negeri juga berjaya mendapat semua A+ dalam SPM tahun lalu iaitu berkurang berbanding 16 calon pada 2017.

“Bagaimanapun, calon yang mendapat semua A pula bertambah daripada 736 orang pada 2017 kepada 746 orang bagi SPM tahun lalu,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pengumunan keputusan SPM peringkat negeri ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh, Balik Pulau di sini hari ini.

Sementara itu, Mahanom berkata, SMK Pondok Upeh dipilih sebagai lokasi pengumuman keputusan SPM peringkat negeri berdasarkan prestasi cemerlang dicatatkan sekolah berkenaan dalam peperiksaan tersebut.

Menurut beliau, SMK Pondok Upeh mencatatkan peningkatan keputusan pencapaian SPM masing-masing sebanyak 0.4 dan 0.9 peratus bagi tempoh dua tahun berturut-turut.

“Kita berharap pemilihan sekolah ini juga dapat menjadi pendorong kepada sekolah lain di kawasan luar bandar khususnya di daerah Barat Daya ini untuk mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama lain pada masa depan,” katanya. - UTUSAN ONLINE