Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, polisi yang julung kali diwujudkan pihaknya itu menggariskan prinsip dan garis panduan bagi mencegah rasuah serta salah guna kuasa di dalam industri perkhidmatan air.

“Polisi ini mengariskan pelbagai tatacara antaranya tender projek secara terbuka, lantikan pegawai integriti di dalam syarikat dan pelaksanaan kaji selidik kepuasan pengguna.

“Semua 12 syarikat air dan dua syarikat pembentungan air di Semenanjung Malaysia serta Labuan diwajibkan menggunakan polisi ini dengan segera di dalam urusan tadbir urus masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada masa sama, Charles berkata, tujuan SPAN memperkenalkan polisi berkenaan bagi meningkatkan ketelusan dalam tadbir urus industri perkhidmatan air sekali gus bagi mengurangkan ketirisan akibat rasuah.

Katanya, terdapat syarikat-syarikat air di negara ini mengalami kerugian disebabkan beberapa punca antaranya salah guna kuasa dan rasuah.

“Justeru itu, sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan baik dalam tempoh lima tahun, SPAN bimbang ia akan bertambah parah dalam industri air negara.

“Kita sebagai badan kawal selia industri perkhidmatan air komited mengamalkan toleransi sifar dalam amalan rasuah atau segala aktiviti berunsur salah guna kuasa,” katanya.

Sementara itu, Charles berkata, pihaknya telah mengkoordinasi bersama syarikat air di enam negeri untuk menangani masalah bekalan air di Merbuk, Kedah.

Katanya, enam syarikat air dari Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka akan menghantar lori tangki air untuk keperluan 20,000 isi rumah di kawasan terjejas. - UTUSAN ONLINE