Beliau buntu memikirkan dua tawaran yang masing-masing memberikan pendapatan lumayan serta kelebihan kerja, lalu dengan penuh rendah hati Mohd Hazari menyerahkan kepada Allah dan membuat solat istikharah yang akhirnya membuat beliau memilih menerima tawaran bekerja di sini.

Mohd Hazari, 45, berkata setahun kemudian beliau menerima tawaran sebagai Pengurus Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (HSE) Menara Jam Makkah dan menjadi satu-satunya anak Malaysia yang bertugas di mercu tanda terkemuka negara ini.

“Sebelum ini saya pernah juga bekerja dalam bidang keselamatan minyak dan gas di Singapura, Indonesia dan Malaysia. Selepas solat istikharah saya berlapang dada memilih untuk bekerja di Makkah yang merupakan idaman semua orang untuk ke sini, saya dijemput pula ke Makkah untuk bekerja dapat rezeki di sini.

“Saya beritahu ibu saya kemudian berbincang dengan isteri, anak-anak dan keluarga, saya memilih untuk ke Makkah,” katanya yang berasal dari Sungai Abong, Muar, Johor kepada Bernama selepas lawatan petugas media Malaysia ke Menara Jam Makkah di sini, baru-baru ini.

Menara Jam Makkah dengan ketinggian 607 meter yang terletak di hadapan Masjidil Haram di sini dan siap pada 2011, bukan sekadar menunjukkan waktu dengan tepat malah ia juga menjadi pusat penyelidikan astronomi yang menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi untuk manfaat manusia.

Mohd Hazari, yang mempunyai tiga anak, berkata isteri dan anak-anaknya kini tinggal di Pasir Gudang, Johor dan akan pulang menemui keluarga setiap tiga bulan sekali, manakala keluarganya akan datang ke sini pada cuti sekolah bulan Disember.

Ditanya tentang perancangan masa depan, beliau mengakui mahu terus bekerja dan menetap di sini kerana memperoleh ketenangan yang tidak dapat dirasainya di tempat lain selain memudahkannya mendekatkan diri dengan Allah.

“Kalau diterima insya-Allah saya nak terus duduk di sini, seronok di sini kalau macam hari Khamis kita kerja separuh hari saya banyak habiskan masa duduk dalam Masjidil Haram, masya-Allah seronok, tenang, sukar sangat digambarkan.

“Rakan-rakan rakyat Malaysia di sini amat rapat, kalau konsulat ada buat apa-apa majlis kita akan bersama-sama dan sokong satu sama lain di sini,” katanya. - BERNAMA