Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, sokong­an erat yang diberikan sama ada di peringkat kerajaan negeri, rakan korporat MSAM, syarikat-syarikat pelaburan, para peserta pameran serta warga MSAM merupakan kunci utama kejayaan setiap siri MSAM.

Katanya, semua pihak dari pe­ringkat atasan hinggalah kepada petugas bawahan masing-masing turun padang bagi memastikan acara tersebut berlangsung dengan jayanya.

“Natijahnya, kita berjaya menghimpunkan orang ramai daripada setiap kawasan untuk memanfaatkan MSAM 2016 di Tapah.

“Mereka bukan hanya datang dari Tapah malah Bidor, Manjung, Sungkai, Tronoh dan kawasan sekitar serta ada yang datang jauh dari Johor, Kedah dan Selangor,” katanya ketika berucap dalam majlis minum petang MSAM 2016, di sini hari ini.

Tambahnya, MSAM 2016 yang bermukim di Stadium Tun Ahmad Sarji, Tapah bermula 20 hingga 28 April lalu telah menyemarakkan pelbagai inisiatif untuk manfaat dan kesejahteraan rakyat dan masyarakat setempat menerusi program tambahan yang dijayakan.

Antaranya adalah program Kembara UMW-MSAM, tajaan RM100,000 oleh Chemical Company Malaysia Bhd. (CCM), kepada Persatuan Parkinson Perak, Klinik UPSR tajaan Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) serta beberapa lagi acara yang dijayakan rakan korporat MSAM.

“Harapan saya agar pada tahun akan datang akan lebih banyak lagi sumbangan yang digerakkan oleh syarikat dan peserta MSAM untuk manfaat masyarakat setempat,” katanya.

Sepanjang sembilan hari acara tersebut berlangsung bulan lalu, pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai 50 peserta pameran terdiri daripada syarikat Kumpulan PNB, ejen-ejen Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB), badan kawal selia serta agensi kerajaan dan swasta.

Sehingga kini, MSAM sudah berjaya menarik seramai 3.3 juta pengunjung dan penganjuran di Tapah adalah merupakan penganjuran pusingan kedua selepas Kota Bharu, Kelantan pada 2014 dan Dataran Sibu, Sarawak pada tahun lepas.