Bukan sahaja 'mampu' meringankan beban tugas guru untuk merekod kehadiran pelajar ke sekolah, namun sistem diberi nama Pepatih MySekolah itu turut menghubungkan maklumat pelajar ke sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) Kementerian Pendidikan.

Ini sekali gus membolehkan ibu bapa juga boleh mengakses untuk melihat rekod kehadiran, malah prestasi anak masing-masing.

Pengetua sekolah itu, Nur’asikin Othman berkata, mesin tersebut mula diperkenalkan sejak 27 Ogos lalu yang merupakan penambahbaikan kepada sistem pengimbas cap jari yang turut dipraktikkan di sekolah berkenaan sejak awal tahun ini.

"SMK Tunku Abdul Aziz merupakan antara sekolah terawal di negara ini menggunakan mesin pengimbas wajah yang diyakini boleh mengawal gejala ponteng kelas serta memantau disiplin pelajar dalam kesalahan-kesalahan lain yang dilakukan.

"Mesin ini mengesan mata dan muka pengguna," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Nur’asikin berkata, pengenalan sistem tersebut memudahkan beliau mendapatkan rekod kehadiran pelajar setiap hari dengan lebih cepat dan mudah tanpa perlu melihat buku kedatangan.

"Seawal pukul 7.40 pagi, saya sudah dapat mengakses data menerusi aplikasi Pepatih MySekolah untuk melihat kehadiran di semua kelas dan tingkatan yang membabitkan 836 orang pelajar dan 94 guru termasuk kakitangan sekolah," katanya.

Sementara itu, pelajar tingkatan enam, Siti Nur Mahfuzah Hamdan, 18, berkata, masalah disiplin boleh dikurangkan melalui penggunaan mesin itu kerana ibu bapa boleh memantau setiap masa kelakuan mereka di sekolah.

"Saya berbangga kerana sekolah kami antara yang terawal menggunakan sistem pengimbas wajah bagi menangani gejala ponteng kelas dan masalah disiplin lain.

"Malah, guru-guru juga boleh memberi sepenuh tumpuan untuk mengajar kami kerana beban tugas mereka semakin berkurangan sejak sistem ini diperkenalkan," katanya. -UTUSAN ONLINE