'CO2NCER' yang merupakan satu sistem pengesan dan amaran awal kebakaran hutan yang dicipta 20 pelajar SMIYT Kemaman dalam tempoh 11 minggu pertandingan itu berlangsung, melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

Ketua kumpulan pelajar sekolah tu Ahmad Faris Wajdan Mohd Fadz, 16, berkata banyak cabaran yang perlu dihadapi ahli kumpulan 'Victornity' itu dalam usaha menyiapkan ciptaan 'CO2NCER' berkenaan terutama dari segi masa kerana mereka perlu memastikan setiap tugasan yang dibahagi antara mereka disiapkan dengan baik.

"Dalam tempoh 11 minggu itu juga, masa tidur kami tidak teratur dan cukup kerana banyak perkara yang perlu difikirkan sehingga terbawa-bawa dalam tidur. Namun atas semangat kerjasama semua ahli kumpulan, tugas ini sama-sama dapat dipikul.

"Alhamdulillah kerja keras ini terbalas juga dan kami gembira, terharu dan bangga dapat mengharumkan nama SMIYT Kemaman dan nama negeri. Terima kasih juga pada semua pihak yang membantu dan menyokong termasuk ibu bapa, guru dan 'buddies'," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Pemenang AAY 2019 peringkat kebangsaan yang disertai kira-kira 50 sekolah di sini, malam tadi.

Beliau berkata kumpulannya berharap produk inovasi yang dihasilkan itu dapat dipatenkan dan dikomersilkan secara lebih meluas terutama di peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Tempat kedua dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon dari Sabah dan membawa pulang wang tunai RM10,000 diikuti tempat ketiga iaitu SMK Tun Habab dari Johor yang menerima wang tunai RM5,000. Sekolah SMK St Francis dari Melaka dan SMK Asyakirin dari Sarawak pula masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima yang membawa pulang hadiah sagu hati.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Lita Osman berkata AAY merupakan platform untuk pelajar mencungkil bakat mereka mencipta produk inovasi yang dapat menyelesaikan masalah dan menambah baik kehidupan masyarakat.

Beliau berkata penganjuran pertandingan bertemakan 'Mengurangkan Pelepasan Karbon untuk Masa Depan yang Lebih Baik' itu juga bertujuan menggalakkan lebih ramai pelajar menceburi bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) selain menyokong aspirasi kerajaan mengurangkan pelepasan karbon.

Katanya juara berpeluang bersaing pada pusingan kejohanan 'Chairman's Circle championship' di Kuala Lumpur yang akan menawarkan hadiah utama berjumlah RM30,000 pada Disember nanti selain juara berpeluang mengetengahkan produk yang dicipta ke peringkat lebih tinggi untuk tujuan pengkomersilan.

"Menerusi AAY, pelajar menjalankan uji kaji dan mereka cipta produk atau inovasi untuk mencari penyelesaian masalah menggunakan elemen STEM dalam semangat berkumpulan dan kerjasama yang tinggi," katanya.

Sejak 2014, AAY telah menjangkau lebih 200 sekolah dan 4,600 pelajar, selain lebih 150 sukarelawan Petronas atau 'buddies' telah memupuk, membimbing dan memotivasi para peserta, yang menghasilkan 200 projek kemasyarakatan berimpak besar. - BERNAMA