Ketua Bahagian Penguatkuasaan SKMM, Datuk Mohd. Shafie Harun berkata, orang ramai diingatkan hanya membeli dan menggunakan kelengkapan komunikasi yang diluluskan oleh SIRIM.

Beliau berkata, penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh mengundang masalah seperti gangguan frekuensi kepada rangkaian komunikasi serta menjejaskan kualiti perkhidmatan.

“Jika tidak pasti, muat turun aplikasi mudah alih Check Your Label atau layati laman sesawang https://ecomm.sirim.com bagi memastikan kelengkapan komunikasi yang digunakan adalah sah dan diperakui, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shafie, SKMM sentiasa mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang memiliki dan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.

Katanya, awal minggu ini, sebuah syarikat dan dua pengarahnya telah didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana memiliki dengan tujuan hendak menjual sebanyak 79 unit kotak televisyen Android pelbagai jenama yang tidak diperakui.

Beliau berkata, pertuduhan dibuat di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Terkini) 2000 dan Seksyen 244 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihak syarikat telah didenda sebanyak RM15,000 dan kedua-dua pengarah masing-masing didenda RM10, 000 setelah mengaku bersalah atas pertuduhan,” katanya. - UTUSAN ONLINE