SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan itu dijalankan berdasarkan proses-proses seperti digariskan di bawah Bahagian V Bab 3 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ini adalah kali pertama kami menjalankan proses siasatan awam berhubung dengan spektrum untuk memastikan ketelusan dalam kaedah agihannya.

“Ini juga bertujuan mendapatkan maklum balas daripada pakar industri, orang awam dan pihak berminat mengenai syor-syor SKMM antara lain berkaitan dengan aspek jangka masa pengagihan spektrum, pelan pelaksanaan, isu-isu teknikal dan fi spektrum,” jelasnya dalam kenyataan itu hari ini.

Menurut SKMM, pendirian awal itu seperti digariskan dalam kertas siasatan awam yang berkaitan dengan cadangan lebar jalur yang optimum untuk setiap jalur spektrum, kaedah pengagihan spektrum secara secara tender atau pertukaran terus, jangka masa proses agihan dan prinsip-prinsip untuk penentuan fi spektrum.

Ujar suruhanjaya itu lagi, ia berdasarkan kajian telah dilaksanakan oleh pihaknya baru-baru ini bertujuan memastikan penggunaan spektrum dioptimumkan melalui strategi yang berkesan.

“Mengoptimumkan penggunaan spektrum adalah penting dalam memastikan peningkatan kualiti perkhidmatan, liputan yang meluas dan kelajuan jalur lebar mudah alih yang lebih baik.

“la juga selaras dengan matlamat untuk mencapai sasaran kelajuan purata 30 Mbps di 98 peratus penduduk berpenduduk menjelang tahun 2023 di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP),” jelasnya. - UTUSAN ONLINE