WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, purata kedalaman banjir kilat di beberapa lokasi semalam adalah antara 0.3 hingga 1.5 meter, dengan kadar ta­buran antara 130 hingga 140 mili­meter (mm).

Beliau berkata, pemeriksaan pi­haknya di kawasan-kawasan terlibat juga mendapati longkang dan sistem saliran sedia ada tidak dise­lenggara dengan baik dan dipenuhi daun serta sampah sekali gus meng­ganggu aliran air ke sungai utama.

“Tinjauan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) semasa kejadian juga mendapati paras air di Sungai Klang masih boleh menampung kapasiti air hujan, perkara ini menunjukkan ada yang tidak kena dengan saliran sedia ada kerana ali­ran air hujan tidak sampai ke sungai tersebut.

“Situasi ini jelas menunjukkan berlakunya masalah dengan sistem saliran longkang jalan dan perparitan kerana tidak diuruskan de­ngan efisien, saiz pembetung yang kecil turut menganggu saliran air,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hari ini Utusan Malaysia mela­porkan sebanyak 115 kenderaan terperangkap dan hampir tenggelam dalam banjir kilat di pintu masuk Universiti Malaya (UM) di Jalan Lingkungan Bu­di dan di hadapan Duta Vista, Jalan Sultan Abdul Halim menghala ke Damansara.

Menurut Wan Junaidi, sebagai langkah penyelesaian jangka pen­dek, kerja-kerja men­dalamkan sistem saliran sedia ada dan kerja-kerja penyelenggaraan perlu dilakukan lebih kerap bagi mengelak kejadian banjir kilat kembali berulang.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, bagi langkah penyelesaian jangka panjang, sistem saliran di kawasan Jalan Duta, UM dan Bangsar perlu dinaik taraf oleh pihak berkaitan, kementerian juga sedang meneliti mengenai saiz pembetung yang tidak dapat menampung ali­ran air apabila berlakunya hujan lebat.

“Kementerian melalui JPS akan membuat penelitian dalam hal ini, kemungkinan besar pembetung yang menghubungkan mana-mana saliran di kawasan terlibat dan beri­siko perlu ditukar kepada saiz yang lebih besar untuk membolehkan ali­ran air berjalan lancar.

“Saya juga telah mengarahkan pengarah JPS negeri untuk memeriksa saiz pembetung di kawa­san masing-masing sebagai persediaan untuk berhadapan dengan situasi luar jangka, saya berikan tempoh seminggu untuk mereka beri maklum balas,” katanya.

Selain itu katanya, se­bagai jalan terbaik dalam menyelesaikan masalah tersebut, JPS telah menyediakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam dan reka bentuk terperinci mengikut Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) un­tuk diserahkan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“MSMA yang merupakan satu garis panduan kepada profesional ter­utamanya jurutera membuat pe­rancangan infrastruktur saliran mesra alam melalui konsep kuantiti dan kualiti di peringkat punca, kaedah ini diyakini mampu mencegah banjir kilat, banjir lumpur dan pen­cemaran sungai.

“Selain itu, dalam hal ini pihak kerajaan negeri dan PBT perlu memainkan peranan masing-masing, kerja-kerja penyelenggaraan perlu dilakukan dengan lebih kerap bagi memastikan sistem saliran tidak tersumbat,” katanya.

Mengulas adakah projek pembinaan di sekitar ibu negara menjadi faktor banjir kilat semalam, Wan Junaidi berkata, itu juga menjadi salah satu punca yang mengakibat­kan banjir kilat tersebut berlaku, namun apa yang pasti saliran longkang jalan yang tidak efisien dan pembetung yang kecil adalah punca utama.