Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi membangunkan sistem tersebut di samping memastikan tahap keberkesanannya berada di tahap terbaik.

Katanya, setakat ini sistem anti dron itu hampir siap sepenuhnya dan TUDM telah melakukan uji nilai  semasa latihan Eksesais Paradise siri 5/18 yang bermula 21 Oktober lalu.

“Seperti yang kita tahu, penggunaan dron pada masa kini begitu meluas sekali dan ia  memberi ancaman terutama di beberapa tempat strategik pertahanan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sehubungan itu, kita telah berjaya  membangunkan satu sistem yang boleh mematikan fungsi dron. Daripada sini, industri pertahanan tempatan mampu untuk terus berkembang lagi.Apa yang penting adalah inisiatif kita dalam menjayakan projek terbabit  dan akan  pergi lebih jauh pada masa hadapan,”  katanya dalam sidang akhbar sejurus merasmikan Majlis Penutup Eksesais Paradise Siri 5/18 di Pangkalan Udara Gong Kedak di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Abu Bakar Mohd. Ajis

Dalam pada itu Affendi berkata, aset udara TUDM digerakkan untuk diuji tahap operasi bagi menentukan kesiapsiagan yang tinggi dalam Eksesais Paradise 5/18.

“Meskipun berhadapn kekangan kewangan, latihan perlu diadakan untuk menentukan (aset) pertahanan udara sentiasa bersiap sedia.

“Eksesais kali ini turut disertai Tentera Darat dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dimana setiap keupayaan (tentera) digabungkan,” katanya.

Seramai 3,109 pegawai dan anggota Tentera Darat, TUDM dan TLDM menyertai eksesais terbesae yang diadakan bagi meningkatkan tahap saling kenali dalam menjalankan operasi membabitkan angkatan besar.

Antara latihan yang dilaksanakan ialah latihan tembakan udara ke permukaan, pengisian minyak di udara dan penyusupan operasi khas.