Dalam usaha meningkatkan keupayaan pihak berkuasa menangani isu berkenaan, MESTECC baru-baru ini telah menjalin kerjasama dengan beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dan Organisasi Kastam Dunia (WCO).

Kerjasama itu direalisasikan melalui penganjuran bengkel selama tiga hari pada 14 hingga 16 Ogos lalu di Kuala Lumpur dalam usaha mengukuhkan keupayaan institusi membanteras perdagangan haram sisa plastik.

Menurut MESTECC, objektif bengkel adalah untuk membolehkan peserta bertukar-tukar amalan terbaik dalam menangani perdagangan haram sisa plastik, selain meningkatkan pemahaman terhadap kerangka kerja antarabangsa termasuk dasar serta perundangan sedia ada berkaitan masalah berkenaan.

"Bengkel juga bertujuan meningkatkan kemahiran dan keupayaan badan kawal selia dan pihak berkuasa dengan kemahiran secara teori dan amali berkaitan teknik pemeriksaan, pengurusan risiko dan profil, mengenal pasti sisa plastik, risikan, risiko dan prosedur," jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas kenyataan itu lagi, bengkel tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Dr. K. Nagulendran yang dalam ucapan perasmiannya turut menekankan perlunya pendekatan secara holistik bagi menangani isu pencemaran disebabkan sisa plastik.

Beliau turut menyatakan hala tuju Malaysia ke arah penggunaan plastik sifar selain perlunya kerjasama serantau dan antrabangsa dalam menangani isu berkenaan.

Menurut Nagulendran lagi, bengkel berkenaan merupakan satu daripada inisiatif MESTECC dalam meningkatkan keupayaan anggota penguatkuasa daripada pelbagai agensi, menangani kemasukan sisa plastik secara haram ke dalam negara.

"Kementerian turut berharap agar lebih banyak tindakan diambil oleh negara yang menghantar sisa plastik ke negara-negara seperti Malaysia, menghentikan penghantaran sisa plastik secara haram di peringkat sumber lagi," jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, pencemaran disebabkan sisa plastik merupakan masalah global dan memerlukan tindakan penguatkuasaan bersepadu oleh semua pihak bagi menanganinya. - UTUSAN ONLINE