Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, kerajaan negeri memandang serius isu pencemaran itu kerana ia mendatangkan ketidakselesaan kepada penduduk sekitar.

Katanya, antara kawasan yang dicemari udara berdebu dan berhabuk ialah Suria Residences, Perdana College Heights, Pajam dan Mantin.

"Kita telah ambil tindakan dengan membuka kertas siasatan dan kes ini akan di bawa ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

"Kalau lihat daripada segi hukuman Seksyen 24, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, kalau didapati bersalah boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua–duanya sekali," katanya kepada para pemberita selepas memeriksa tapak pelupusan haram itu hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JAS Negeri Sembilan, Norhazni Mat Sari.

Utusan Online difahamkan tapak milik persendirian itu dijadikan sebagai lokasi pelupusan sisa kilang dipercayai beroperasi di Kawasan Perindustrian Nilai dan masalah itu telah berlarutan selama hampir 10 tahun.

Sisa berkenaan dikenali sebagai `sand bleach' iaitu sejenis bahan yang digunakan dalam proses melunturkan minyak kelapa sawit.

Veerapan berkata, hasil siasatan JAS juga mendapati kawasan itu adalah tapak pelupusan haram yang mana sisa itu sepatutnya dibuang dan dilupuskan di tapak pelupusan sampah sanitari yang diluluskan oleh agensi berkaitan. - UTUSAN ONLINE