Rakyat negeri ini semestinya ternanti-nantikan istiadat itu kerana kali terakhir istiadat seumpamanya diadakan adalah 59 tahun lalu ketika pertabalan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Sultan Kedah Ke-28.

Baginda mangkat pada 11 September 2017.

Balairung Seri Is­tana Anak Bukit di sini bakal melakarkan sejarah apabila istiadat pertabalan Sultan Kedah diadakan buat pertama kalinya di balairung itu. Sebelum ini, istiadat berkenaan diadakan di Balai Besar, Istana Alor Setar.

“Kalau dahulu, Balai Besar yang menyaksikan berlangsungnya istiadat pertabalan sultan-sultan. Kini, buat pertama kalinya istiadat itu akan berlangsung di Istana Anak Bukit,” kata Datuk Bijaya Indera me­rangkap Ketua Istiadat, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah (gambar).

Beliau memberitahu, tidak semua Sultan Kedah terdahulu dapat ditabalkan dengan penuh adat istiadat berikutan keadaan negara yang tidak aman.

“Mengikut catatan sejarah, istiadat pertabalan Sultan Badlishah tidak dapat diadakan kerana ketika itu Jepun menakluki Tanah Melayu,” katanya.

Istiadat kali ini, atas perke­nan Sultan Sallehuddin, akan diadakan penuh gemilang dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah dengan beberapa penambahbaikan.

Antara penambahbaikan itu adalah dengan mengangkat martabat Islam dalam penyempurnaan istiadat berkenaan.

“Istiadat akan diisi dengan bacaan doa dan surah-surah yang terkandung dalam kitab suci al-Quran,” katanya.