Pakar dasar media dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhammad Adnan Pitchan berkata, jenayah ini menjadi popular kerana ia merupakan satu-satunya cara paling mudah untuk mereka nak dapatkan keuntungan berlipat kali ganda.

“Teknik mereka gunakan ialah Voice Over Internet Protocol (VOIP) untuk membuat pemanggilan dan memerangkap orang ramai. Sebab itu kita boleh lihat sejak kebelakangan ini ada sahaja kes yang melibatkan penipuan panggilanini dilaporkan oleh media tempatan.

“Penjenayah ini memang dia dah tahu apa kesalahan yang sedang dia buat dan mereka tahu hukuman apa yang bakal akan diterima. Sebab itu mereka berani membuat kesalahan itu.

“Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tahun 2018 menunjukkan sebanyak 3,816 kes telah dilaporkan sehingga bulan Oktober. Menurut laporan Price Waterhouse Coopers (PWC) berlaku peningkatan dalam jenayah ini kepada 41 peratus bagi tahun 2018 berbanding 28 peratus pada tahun 2016,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Muhammad Adnan, jenayah itu wujud apabila ada ruang dan peluang.

“Kebiasaanya penjenayah ini dia akan memanggil nombor secara rawak. Langkah pertama penjenayah ini buat adalah dia mesti mahu uji dulu siap mangsa mereka. Macam mana nak uji mangsa senang sahaja. Bila mereka buat panggilan, mereka akan kenalkan diri kononya mereka daripada mahkmah atau badan berkuasa seperti polis, kastam.

“Bila mangsa mendengar perkataan itu mereka dah mula panik dan gelabah. Intonasi suara mangsa pun akan mula lain. Daripada situ penjenayah boleh dapat tahu orang ini boleh ‘makan’ atau mudah ditipu dan mereka lebih berani untuk menakut-nakutkan mangsa sampai mangsa buat apa yang mereka suruh,” katanya. - UTUSAN ONLINE