Beliau berkata, Kementerian Pendidikan seharusnya mengutamakan graduan pendidikan universiti awam yang semestinya mempunyai kualiti secukupnya untuk menjadi guru setelah menjalani pengajian selama empat tahun dan pelbagai latihan pedagogi.

Sehubungan itu, menurut beliau, kerajaan perlu berusaha menyediakan perjawatan yang sesuai untuk graduan tersebut supaya kemahiran yang diperolehi tidak dibazirkan begitu sahaja.

“Keutamaan perlu diberi kepada (graduan) universiti awam kerana di universiti awam, kita merencanakan guru yang terbaik.

“Seorang guru mesti ada jati diri, faham Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan faham Perlembagaan (Persekutuan). Bukanlah bererti graduan universiti lain tidak berkualiti, tetapi graduan universiti awam ada kelebihan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Seminar Pendidikan Ummah Nasional (SPUN) 2018 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan dan bekas Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Datuk Mohamed Sabri Mohd. Arsad. – UTUSAN ONLINE