Beliau hairan kerana golongan tersebut begitu benci terhadap khat dan Jawi tetapi boleh pula menggunakannya di dalam produk-produk keluaran mereka termasuk sijil logo halal kerana sebahagian besar pelanggan mereka adalah terdiri daripada orang Islam dan Melayu.

"Jika begitu (bantah khat dan Jawi), sila gunakan logo halal tulisan mandarin atau tamil," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Fathul Bari seterusnya bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Dong Zong adalah sebuah pertubuhan yang rasis sejak dahulu lagi.

"Malah tindak-tanduk gabungan ini semakin menjadi-jadi selepas DAP dilihat jelas berada di belakang mereka untuk mempertahankan pertubuhan berkenaan," ujar beliau.

Dalam pada itu, Fathul Bari turut bersetuju dengan cadangan pelbagai pihak agar pertubuhan tersebut segera diharamkan.

"Daripada dahulu lagi kita banyak memberi muka kepada mereka ini dan sudah tiba masanya tindakan tegas diambil," katanya.

Kelmarin, Dr. Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, Dong Zong sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang menggabungkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Sejak dua minggu lalu, isu pengenalan tulisan khat atau Jawi mendapat bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidikan Cina dan Dong Zong. - UTUSAN ONLINE