Laporan itu dibuat oleh kariah masjid tersebut, Hasnan Abdul Kudus, 57, dan Eishar Mat Akhir di Balai Polis Kangar kira-kira pukul 1.30 petang ini.

Dalam laporan itu, mereka menuntut Mohd. Asri supaya menarik balik kenyataan bahawa kariah masjid tersebut boleh melakukan sihir terhadap imam baharu selain meminta pihak berkuasa mengambil tindakan mengenainya.

Hasnan berkata, kenyataan kononnya kariah boleh menggunakan bomoh Siam terhadap imam baharu di masjid berkenaan tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang mufti yang menjadi penasihat agama di negeri ini.

Katanya, adalah tidak masuk akal kariah akan melakukan tindakan seperti itu kerana mereka juga mempunyai pegangan agama dan tahu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.

“Kami desak mufti tarik balik tuduhan dan mohon maaf secara terbuka kepada kariah. Pihak polis juga perlu ambil tindakan sepatutnya dalam soal ini.

“Sepatutnya mufti memberi tarbiah dan didikan kepada masyarakat bukannya membuat tuduhan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan tersebut di sini, hari ini.

Mohd. Asri dalam video kuliahnya yang dikongsi dalam Facebooknya kelmarin mendedahkan ada kariah di salah sebuah masjid mengugut boleh melakukan sihir terhadap imam yang baru dilantik di masjid berkenaan.

Mohd. Asri dilaporkan berkata, situasi itu berlaku ketika mereka datang bertemunya baru-baru ini bagi meminta supaya imam lama masjid berkenaan dikembalikan.

Sebelum itu, tular sekeping surat dikeluarkan JHEAIPs berhubung pemecatan seramai 25 orang imam kariah di negeri ini manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan.

Mohd. Asri kemudian menjelaskan penamatan jawatan itu adalah untuk memberi laluan kepada golongan muda.- UTUSAN ONLINE