Beliau berkata Jawatankuasa Jenayah Siber, iaitu kerjasama antara polis dan SKMM, menjalankan siasatan terperinci sejak video itu tular dalam media sosial pada Selasa lepas (11 Jun).

“Kami (SKMM) menjalankan siasatan seperti yang lazimnya dilakukan, sudah tentulah bersama-sama polis dalam usaha menyegerakan (siasatan) kes ini. Kes ini membabitkan kepentingan negara, maka ia menjadi satu keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani Ikrar Mengutamakan Pengguna antara SKMM dan syarikat telekomunikasi utama di sini hari ini.

Diilhamkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, inisiatif itu merupakan satu lonjakan dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna.

Al-Ishsal berkata polis mengetuai siasatan itu manakala SKMM pula melaksanakan peranannya sebagai forensik digital.

Beliau berkata peranan suruhanjaya itu adalah untuk menyediakan bantuan teknikal yang diperlukan polis, mengenal pasti sumber dan mengesan pelaku yang bertanggungjawab menyebarkan video berkenaan.

“SKMM sedang berusaha dengan giat untuk mendapatkan fakta-fakta berkaitan kes ini,” katanya.

Ditanya sama ada SKMM akan turut mengkaji ketulenan video tersebut, beliau berkata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor telah menyatakan polis akan mengkaji serta menentukan kesahihan video itu.

“SKMM bukanlah sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang. Kami bertindak mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika diminta bantuan oleh polis atau pihak lain termasuk Majlis Keselamatan Negara, kami akan beri bantuan teknikal untuk bantuan siasatan dengan sepenuhnya,” katanya.

Al-Ishsal turut menasihati orang ramai supaya tidak memuat naik, menyebar atau berkongsi kandungan lucah dalam talian kerana ia menyalahi undang-undang.

“Pihak kerajaan khususnya SKMM dan polis sentiasa giat untuk melakukan siasatan dan menyelesaikan kes-kes terutamanya jika ia memberi kesan kepada pengguna dan keselamatan negara.

“Kita sebagai rakyat Malaysia kesemuanya tidak mahu hidup dalam masyarakat sebegini yang menggunakan peralatan dan kemudahan teknologi untuk menyebarkan perkara, maklumat dan kandungan yang tidak sahih,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat lompong dalam pendaftaran talian pra bayar dan pasca bayar, Al-Ishsal berkata masalah itu timbul apabila sesetengah pendaftaran menggunakan identiti orang lain.

“Undang-undang mengatakan anda perlu daftar (maklumat peribadi) untuk nombor telefon. Tetapi ada orang daftar guna identiti orang lain. Jadi ini masalah. Kita mendalami isu ini dan menangani ia satu persatu,” katanya.

Menurutnya, sistem pengenalan diri (ID) digital akan menjadi platform pada masa depan sebagai cara pengesahan identiti dalam kegiatan dalam talian serta membendung penipuan dan akaun digital palsu.

Rabu lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam satu video lucah.

Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadiannya serta menjatuh beliau dan memusnahkan karier politiknya. - BERNAMA