Bendaharinya, Mohamad Rafidee Hassim berkata, Santiago tidak seharusnya bermain api selain mempersoalkan apakah jasa dan kredibilitinya jika dibandingkan dengan Dr. Mahathir.

"Santiago bukan lagi bermain api, beliau telah menunjuk warna sebenar. Soapa dirinya yang secara puitisnya jika di Indonesia namanya pun tidak sesuai dengan kebudayaan tanah air.

"Siapakan anda untuk menidakkan usaha Tun Dr. Mahathir dalam meletak Malaysia di landasan dan mercu kecemerlangan? Dr. Mahathir mendapat pengiktirafan dunia, Santiago perlu cermin muka, siapa diri anda?," katanya di sini, hari ini.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Klang itu menyuarakan kebimbangannya tentang pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Kata pemimpin DAP itu, Perdana Menteri sering membuat keputusan secara berseorangan dan seolah-olah mahu menunjukkan beliau berkuasa walaupun datang dari parti yang kecil.

Beliau memberi contoh isu pengajaran seni khat Jawi di sekolah yang timbul baru-baru ini, yang mana beliau mendakwa Dr. Mahathir melakukan keputusan dengan sewenang-wenangnya.

Menurut Mohamad Rafidee, tuduhan yang menyatakan Dr. Mahathir membuat keputusan secara sewenang-wenangnya adalah liar dan melulu.

Beliau yang juga Ketua Bahagian PPBM Kuala Krau memberitahu, Dr. Mahathir terbukti sentiasa berusaha keras untuk menyelamatkan negara Malaysia tercinta ini.

"Santiago juga bersikap bermulut longkang apabila menimbulkan lagi polemik dengan menidakkan Bersatu dalam kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14.

"Santiago ibarat tupai membaiki labu. Tanpa Dr. Mahathir, gabungan PH pasti bermimpi ngeri selama-lamanya," tegasnya. - UTUSAN ONLINE