Usaha itu akan dilakukan menerusi kerjasama Sharp Electronics (M) Sdn. Bhd. (Sharp) dan Eduspec Holdings Berhad (Eduspec) yang dirasmikan menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di sini hari ini.

Menerusi MoU itu, Sharp akan membekalkan teknologi pintar seperti papan interaktif bersaiz sehingga 98 inci kepada sekolah manakala Eduspec pula akan menggabungkannya dengan penyelesaian integrasi yang dibangunkan pihaknya.

Menurut Pengarah Urusan Sharp, Robert Wu, pihaknya selepas ini akan mengenal pasti institusi pendidikan berpotensi untuk dilaksanakan modul pembelajaran abad ke-21 itu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

“Teknologi pendidikan Sharp dan Eduspec ini akan dibekalkan di semua sekolah perintis yang dikenal pasti mengikut peringkat pendidikan bermula daripada tadika, sekolah rendah, sekolah menengah sehinggalah ke kolej teknikal.

“Menerusinya, kita akan mewujudkan pembelajaran pintar dan holistik dengan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan internet dan analisis data,” katanya selepas majlis menandatangani MoU itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Eduspec, Lim Een Hong; Ketua Perniagaan Asean Sharp, Yoshihiro Hashimoto dan Timbalan Pengrah Urusan Sharp Electronics Malaysia, Ting Yang Chung.

Dalam pada itu, Een Hong berkata, pihaknya yakin kerjasama tersebut dapat membantu Malaysia untuk meningkatkan bidang pendidikan terutama dalam pembelajaran sains, teknologi dan matematik (STEM) di sekolah.

Selain itu, tambahnya, kerjasama tersebut juga akan mewujudkan suasana pembelajaran yang disokong oleh penggunaan teknologi pintar sekali gus membawakan pengalaman menyeronokkan kepada pelajar dan guru.

Model pembelajaran menggunakan teknologi dan peralatan pintar oleh Sharp itu bukanlah sesuatu yang asing kepada syarikat berkenaan yang sehingga kini sudah membangunkan lebih 100,000 bilik darjah dengan kemudahan itu di China, Taiwan dan Vietnam. - UTUSAN ONLINE