Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Utama berkata, keterangan itu akan diberikan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini pada pukul 6.30 petang ini.

Menurutnya, beliau akan memberi keterangan berhubung pembabitan bekas Setiausaha Sulit Kanan beliau, Muhammad Haziq Abdul Aziz yang turut dikaitkan dengan rakaman video itu.

“Pegawai penyiasat dari Bukit Aman ada menghubungi pejabat saya semalam meminta saya hadir memberi keterangan petang ini.

“Untuk itu, saya akan ke IPK Melaka pukul 6.30 petang ini dan akan menjawab segala pertanyaan pegawai polis bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Parlimen Hang Tuah Jaya di Kota Fesyen, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini sebentar tadi.

Video aksi seks sejenis yang didakwa melibatkan menteri berkenaan semakin panas apabila selepas 24 jam ia tular, Muhammad Haziq tampil mendakwa beliau adalah individu yang berada dalam video tersebut.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar memaklumkan bahawa kali terakhir beliau menghubungi Muhammad Haziq adalah pada Selasa lalu iaitu selepas pulang dari Yangon, Myanmar atas urusan rasmi.

Namun katanya, beliau cuba menghubungi bekas setiausaha sulitnya itu kelmarin menerusi khidmat aplikasi WhatsApp namun tidak dibalas.

Shamsul Iskandar dalam sidang akhbar di Putrajaya semalam memaklumkan, Muhammad Haziq digantung tugas serta-merta dan diarahkan memberi surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari berhubung isu tersebut. - UTUSAN ONLINE