Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan permohonan Muhammad Shafee bagi mendapatkan sementara pasportnya untuk beliau ke Sydney, Australia dari 24 Jun hingga 1 Julai ini.

“Kami berpandangan bahawa terdapat keperluan sebenar bagi pemohon (Muhammad Shafee) untuk berada bersama-sama peguam dan anak guamnya di sana,” kata Hakim Ahmadi, yang mempengerusikan panel berkenaan.

Beliau berkata tiada keterangan yang menunjukkan bahawa Muhammad Shafee akan melarikan diri, dan menambah, pendakwaan tidak mengemukakan sebarang keterangan bahawa beliau mungkin melarikan diri.

“Kami sedar bahawa orang kena tuduh dalam kes di Australia mempunyai hak untuk diwakili peguam pilihannya sendiri,” kata Hakim Ahmadi.

Peguamnya, Harvinderjit Singh memberitahu, mahkamah Muhammad Shafee akan mengembalikan pasportnya kepada mahkamah sebelum 3 Julai selain melaporkan kepulangannya dari Australia.

Muhammad Shafee berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterimanya daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau turut didakwa mengikut Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri atas dua pertuduhan mengemukakan suatu penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan tidak memasukkan jumlah RM9.5 juta ketika mengemukakan laporan cukai bagi tahun berkenaan.

Pada 14 Mei tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Muhammad Shafee untuk mendapatkan sementara pasportnya yang dipegang mahkamah, untuk mengendalikan kes anak guamnya, seorang rakyat Malaysia yang didakwa mengedar dadah, di sebuah mahkamah di Australia.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menegaskan kehadiran Muhammad Shafee di Australia, seperti yang dipohon menerusi sepucuk surat bertarikh 13 Mei 2019, sekadar untuk membantu kes itu kerana menurut rekod, tertuduh telah ada peguam Australia.

Terdahulu, dalam prosiding hari ini di Mahkamah Rayuan, Harvinderjit Singh berhujah Muhammad Shafee tidak akan melarikan diri dan beliau telah empat kali melakukan perjalanan ke luar negara selepas didakwa di mahkamah dan kembali semula ke Malaysia selepas itu.

“Beliau mempunyai tiga isteri, keluarganya semua ada di sini. Tiada sebab untuk beliau tidak kembali semula (ke tanah air),” katanya, dan menambah, anak guam Muhammad Shafee di Australia memerlukan nasihat guaman tentang sama ada berdepan pertuduhan atau mengadakan rundingan bagi pengakuan bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dalam hujahnya pula berkata Muhammad Shafee tidak mempunyai sebab untuk berada di Australia kerana anak guamnya sudah melantik seorang peguam tempatan. - BERNAMA