Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, atas apa alasan sekalipun, perbuatan sedemikian tidak boleh diterima dan mesti ditentang habis-habisan oleh masyarakat antarabangsa tanpa mengira latar belakang etnik, budaya dan agama.

“Jika kita mengutuk serangan ke atas penganut agama Islam di Christchurch, New Zealand baru-baru ini, maka dengan nada yang sama kita juga mengutuk serangan ke atas para penganut agama Kristian di Sri Lanka ini.

“Kita menuntut supaya mereka yang terlibat diadili dengan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Angka kematian akibat siri letupan di gereja dan hotel di Colombo ketika sambutan Hari Easter semalam meningkat kepada 290 orang manakala lebih 500 lagi dilaporkan cedera.

Jurucakap polis Sri Lanka berkata, setakat ini polis menahan 24 individu yang dipercayai terlibat dalam insiden itu.

Menurut Wan Salim, semua pimpinan politik, agama dan kaum perlu berusaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan para pengikut masing-masing mengenai kepentingan hubungan yang harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Kesemua pihak mesti mengetepikan sikap taksub kepada kaum dan agama sendiri serta elakkan segala perasaan bermusuh dan berprasangka kepada mana-mana pihak lain.

“Perbezaan agama dan etnik mesti diterima sebagai realiti dan kehendak Allah SWT dengan tujuan berkenal-kenalan dan saling membantu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, umat Islam dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan seruan-seruan untuk membenci dan memusuhi individu atau pihak yang berbeza etnik dan agama dengan mereka. - UTUSAN ONLINE