Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) berkata, laluan yang digunakannya untuk ke kenderaan bukan di kawasan penyokong parti lawan di samping menegaskan yang rakaman video dimuat naik seorang pengendali laman blog Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris telah diedit dan tidak menggambarkan keseluruhan kejadian.

Bagaimanapun, Syed Saddiq menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan tidak mahu mengulas lanjut mengenai dakwaan Wan Muhammad Azri memeluknya semalam bukan untuk mengasari sebaliknya, untuk membantu melindunginya.

"Saya harap pihak polis akan panggil beberapa sukarelawan dan polis yang ada di sana juga. Boleh tengok video yang ditunjuk itu, masa kita cepat-cepat lari ke depan, polis pun dah ada kawal tetapi, dia lari kejar dari belakang, pergi ke kawasan parit dan terus lompat. Mula-mula okay tetapi dia edit dan tak tunjuk bahagian lain.

"Tentang (dakwaan dia tidak cekak leher saya), saya sudah buat laporan (semalam) dan biar polis lakukan siasatan," katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Townhall - Aspirasi Buat Belia di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu. - UTUSAN ONLINE