Anggota Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Wan Kamal Mujani berkata, ini kerana, sikap prejudis dan kebencian terhadap Islam juga menjadi penyumbang kepada berlakunya kejadian tembakan tersebut.

“Berdasarkan penelitian yang dibuat, punca utama berlakunya peristiwa berdarah membabitkan umat Islam di New Zealand adalah kerana sikap tidak puas hati pihak tertentu yang membawa sentimen orang kulit putih serta Islamofobia.

“Mereka yang melancarkan serangan rambang itu dilihat seakan-akan tergugat dengan kedudukan umat Islam yang dianggap sebagai pendatang asing di negara tersebut,” katanya dalam temu bual khas bersama MPN di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Kamal berkata, faktor migrasi dan kerakyatan umat Islam di negara tersebut bukan punca utama berlakunya tragedi berkenaan.

“Rakyat atau penduduk di negara ini yang beragama Islam hanya beberapa peratus sahaja dan mereka jelas golongan minoriti di situ. Jadi, adalah tidak adil jika mahu salahkan Islam terhadap peristiwa tersebut. - UTUSAN ONLINE