Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kemasukan Malaysia dalam senarai tersebut bersama dengan negara-negara pedagang utama dunia yang lain seperti Jepun, Jerman, Korea Selatan dan Singapura sebenarnya hanya menonjolkan kekukuhan negara serta peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam ekonomi dunia.

“Mana-mana negara yang mempunyai jumlah dagangan melebihi AS$40 bilion (RM167.7 bilion) setahun dengan AS akan diperiksa oleh Perbendaharaan AS untuk penelitian lanjut. Terdapat 21 negara yang memenuhi syarat tersebut, termasuk Malaysia.

“Daripada 21 negara tersebut, semua negara yang memenuhi dua daripada tiga syarat lain akan dimasukkan dalam Senarai Pemantauan Perbendaharaan AS,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, Malaysia dimasukkan dalam Senarai Pemantauan tersebut di atas dua faktor iaitu pertama, Malaysia mempunyai lebihan dagangan dengan AS melebihi AS$20 bilion (RM83.8 bilion) setahun.

Kedua, tambah beliau, Malaysia mempunyai lebihan akaun semasa yang sihat melebihi dua peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)

“Kedua-dua faktor ini hanya menonjolkan daya saing ekonomi Malaysia dan bukannya bukti berlakunya manipulasi mata wang. Tambahan lagi, kita dapat membuktikan daya saing Malaysia dengan melihat prestasi Malaysia dalam Indeks Doing Business 2019 oleh Bank Dunia dan laporan Ranking Daya Saing Dunia 2019 oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD).

“Dalam laporan Bank Dunia, kedudukan Malaysia telah meningkat sembilan anak tangga kepada tempat ke-15 berbanding ke-24 pada tahun sebelumnya. Dalam laporan IMD pula, Malaysia merupakan negara ke-22 paling berdaya saing di dunia, mengekalkan kedudukan yang sama seperti tahun lalu,” katanya. - UTUSAN ONLINE