Ini termasuk dalam kalangan masyarakat negeri itu sendiri, kata Ketua Satu PPJ Amiruddin Md Ali Hanafiah.

Menurutnya, keputusan tersebut adalah satu langkah yang berani dan terpuji kerana menunjukkan Johor bersedia menjadikan tulisan jawi sebagai milik masyarakat tanpa mengira kaum.

Malah, beliau juga yakin penggunaannya nanti menjadi titik awal dalam menjadikan Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu di rantau ini.

“PPJ merakamkan tahniah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan kerajaan negeri yang akan menjadikan Johor sebagai pelopor tulisan jawi dalam urusan rasmi kerajaan, khususnya tentang hal agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Amiruddin berkata, bagi memastikan penggunaan tulisan jawi benar-benar dilaksanakan secara berkesan, PPJ menyarankan agar semua pegawai kerajaan di negeri ini bersama-sama menggunakan tulisan berkenaan dalam memartabatkan nilainya.

Selain itu, PPJ berpendapat agensi luar bandar seperti Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Felda juga sepatutnya menggunakan tulisan ini dalam urusan rasmi mereka.

Dalam masa sama, semua papan tanda yang berkaitan dengan agama Islam perlu segera menggunakan tulisan jawi, katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi mengumumkan pelaksanaan penggunaan tulisan jawi berkuat kuasa 1 Januari itu akan melibatkan kesemua anak syarikat di bawah JAINJ dan MAINJ.

Pelaksanaannya juga akan melibatkan peringkat pejabat kadi, sekolah-sekolah agama dan digunakan dalam teks-teks ucapan.- BERNAMA