Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut mendoakan agar keluarga berkenaan tabah dalam berdepan saat-saat sukar.

"Semoga mereka tabah serta diberi kekuatan menempuh dugaan dan ujian," katanya menerusi ciapan dalam laman Twitter beliau hari ini.

Semalam, keluarga remaja warga Ireland, Nora Anne, 15, mengesahkan mayat perempuan yang dijumpai adalah anak mereka yang hilang dari resort di Pantai, Negeri Sembilan, Ahad lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pengesahan itu dibuat oleh keluarganya yang datang untuk tujuan pengecaman di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ).

Mayat perempuan berkulit putih tanpa pakaian ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapan Nora Anne dan keluarganya di Pantai pada pukul 1.57 petang semalam.

Mayat dalam keadaan sempurna itu ditemukan sekumpulan pendaki yang menyertai operasi SAR di satu kawasan lurah berhampiran sungai sebelum dihantar ke HTJ menggunakan helikopter.

Nora Anne dilaporkan hilang dari Resort The Dusun Pantai Hill dekat sini pada pagi 4 Ogos lalu semasa bercuti bersama ibunya, Maebh Jaseprine Quoirin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua adiknya.

Semasa kejadian, mangsa tidur di dalam bilik bersama dua adiknya sebelum gadis tersebut didapati hilang kira-kira pukul 8 pagi. - UTUSAN ONLINE