Timbalan Bersatu negeri, Izizam Ibrahim berkata, kerajaan selama ini banyak mengalah serta melayan tuntutan mereka sehingga akhirnya kumpulan ini dilihat semakin 'besar kepala'.

Ujar, dalam isu pengenalan tulisan khat dan Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun depan khususnya, kerajaan sudah banyak mengalah dan memberi kelonggaran namun kumpulan tersebut terus membantah.

"Tulisan Jawi dan khat ini daripada dahulu lagi sudah diguna pakai oleh orang Melayu cuma ia tidak diselaraskan dan sama juga seperti tulisan kaligrafi Cina dan tulisan India masing-masing mempunyai budaya dan tulisan sendiri.

"Mereka perlu pandai beza antara agama dan penulisan. Sepatutnya perkara tersebut tidak menjadi isu atau dibantah oleh kumpulan berkenaan.

"Sekali lagi saya bersetuju dengan kenyataan Dr. Mahathir (Dong Zong rasis). Sebelum ini Dr. Mahathir dilihat diam dan melihat sahaja tingkah laku kumpulan itu khususnya dalam isu tulisan Jawi ini. Namun apabila mereka terus membantah, saya lihat ia sudah berlebihan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, Dong Zong sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang menggabungkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Dr. Mahathir dalam nada tegas berkata, persatuan itu tidak pernah menyukai orang Melayu kerana bimbang anak-anak mereka bercampur dengan kaum itu.

Dalam masa sama, sebuah petisyen yang digerakkan bagi mendesak Dong Zong diharamkan telah mendapat lebih 40,000 tandatangan selepas sehari dilancarkan.

Sementara itu, Izizam turut bersetuju agar kumpulan tersebut diharamkan memandangkan selama ini mereka sering menimbulkan perkara yang tidak disenangi oleh pelbagai pihak.- UTUSAN ONLINE