Selangor juga penyumbang tertinggi kepada pelaburan negara, katanya.

Beliau berkata, jumlah KDNK itu menunjukkan peningkatan yang positif dalam perkembangan ekonomi negeri berbanding pada 2017 dan 2016.

"Ini adalah pencapaian luar biasa, meningkat daripada 22.7 peratus dicatatkan pada 2016 dan 23 peratus pada 2017.

"Ini membuktikan Selangor adalah negeri paling maju di Malaysia, yang menawarkan persekitaran mesra perniagaan dari segi kemudahan infrastruktur dan ICT (sistem teknologi maklumat dan komunikasi)," katanya selepas merasmikan dialog antara Menteri Besar Selangor dan The Hong Kong Chinese Importers and Exporters Associations (HKCIEA), di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana negeri Datuk Teng Chang Khim dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Perundingan Politik Rakyat China dan Pengenalan Wakil kepada HKCIEA, Leung Chun Yong.

Amirudin berkata, kerajaan negeri turut menyasarkan untuk memperoleh jumlah pelaburan bernilai RM10 bilion menjelang akhir tahun ini.

"Dalam beberapa minggu lepas, kami menerima perkembangan dan prestasi terkini mengenai pelaburan langsung domestik dan asing di Selangor dan negeri ini sangat bertuah kerana menerima pelaburan kira-kira RM6 bilion pada separuh pertama 2019.

"Ini memberi keyakinan bahawa kita mampu mencapai sasaran RM10 bilion atau lebih (nilai pelaburan) menjelang akhir tahun ini," katanya.

Sementara itu, Teng berkata, dialog anjuran Invest Selangor Bhd itu dilihat sebagai platform terbaik dalam menarik minat negara Hong Kong untuk melabur di Selangor.

Beliau berkata, langkah itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Selangor dan Hong Kong dalam sektor perkilangan bagi kedua-dua pihak.

"Berdasarkan rekod, China dan Hong Kong merupakan antara negara terbesar yang melabur di Selangor.

"Pada tahun lepas sahaja pelaburan dari China mencatatkan kira-kira RM3.98 bilion dan Hong Kong pula mencecah RM1 bilion. Kita akan memberi tumpuan pada kedua-dua negara ini terutamanya China untuk mereka terus melabur di Selangor," katanya. - BERNAMA