Ini kerana jarak rumah penduduk yang terlalu dekat iaitu kira-kira 150 meter dari tapak cadangan kuari itu bukan sahaja akan menimbulkan rasa kurang selesa kepada penghuninya, tetapi lebih merisaukan faktor kesihatan akibat debu dan habuk yang berterbangan.

Kebimbangan mereka sejak lebih setahun lalu kini semakin memuncak apabila kerja-kerja pengambilan tanah melibatkan 29 lot yang dimiliki lebih 100 orang penduduk sudah bermula, menandakan projek kuari itu akan diteruskan walaupun bantahan demi bantahan dilakukan.

Menurut Pengerusi Majlis Bertindak Bantahan Kuari Gunung Pulai, Mohd. Sabri Mahmud, majoriti pemilik tidak bersetuju dengan pengambilan tanah itu yang akan dijadikan laluan lori sepanjang kira-kira 1.7 kilometer ke tapak kuari terbabit.

Ujarnya, rata-rata mereka ingin mempertahankan tanah ma­sing-masing kerana tidak mahu penjualan tersebut hanya akan membuka ruang kepada penerokaan Gunung Pulai yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan semula jadi, habitat haiwan dan persekitaran yang tenang serta damai kepada penduduk.

“Sudah tujuh kali kami membantah dengan melakukan demonstrasi aman sejak April tahun lalu, naik turun pejabat berkaitan dan menulis berkeping-keping surat, namun rayuan kami seakan-akan tidak diendahkan apatah lagi proses pengambilan tanah penduduk diteruskan.

“Sebelum ini, kerajaan negeri berjanji akan menghentikan jika terbukti projek kuari itu memudaratkan penduduk, tetapi nampak seperti ia akan dite­ruskan walaupun kajian impak alam sekitar terbukti jarak gunung dengan rumah penduduk tidak sesuai untuk aktiviti kuari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Antara kampung yang terlibat dengan projek itu adalah Kampung Tok Bandar, Kampung Pauh Rusa, Kampung Che Wan Jusoh, Kampung Teluk Tok Patah, Kampung Tok Saban, Kampung Sungai Limau dan Kampung Pulai.

Tambah Mohd. Sabri, lebih merisaukan, operasi kuari batu kapur itu tidak mustahil akan mencemarkan Sungai Ketil yang berjarak kurang 100 meter dari kaki Gunung Pulai yang menjadi sumber bagi Loji Rawatan Air Sungai Limau untuk kegunaan separuh penduduk daerah itu.

“Malah, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai juga hanya berada kira-kira 700 meter dari gunung itu dan kita bimbang sekiranya operasi kuari itu akan turut menjejaskan kesihatan murid-murid yang mungkin tidak lagi berpeluang melakukan aktiviti luar kelas dengan selesa.

“Selain itu, Gunung Pulai yang memiliki kira-kira 12 gua termasuk Gua Kelambu yang popular dalam kalangan pengunjung sering dipenuhi para pendaki yang menggemari aktiviti lasak, tidak mustahil suasana meriah itu hanya akan tinggal sejarah selepas ini sekiranya projek kuari diteruskan juga,” katanya.

Ujar beliau lagi, pelbagai usa­ha dilakukan penduduk ketika ini termasuk mengadakan solat hajat dan bacaan surah Yasin setiap malam sebagai ikhtiar demi menyelamatkan tanah penduduk dan Gunung Pulai daripada bertukar menjadi projek kuari batu kapur.