Sesungguhnya apabila tamatnya tujuh pusingan tawaf wadaku awal pagi ini, aku tidak mampu berpaling lagi kerana terpaksa berpisah denganmu walaupun sangat berat rasanya hati ini.

Aku amat bersyukur dan berterima kasih kerana sudi menerimaku menjadi tetamuMu selama 47 hari. Hari-hari yang mengajarku erti kehidupan sebenar - kehidupan hari ini dan juga hari esok.

Terasa bagai baru semalam kakiku menjejak bumi suci Madinah dan Masjid Nabawi, di mana Kekasih-Mu, Rasulullah SAW disemadikan. Begitu juga terasa bagai baharu sahaja melihat Baitullah, kiblatku sebaik sahaja menjejakkan kaki di masjid yang termulia, Masjidilharam.

Sesungguhnya, menjadi tetamu-Mu sambil menjadi pelapor kalam mengenai Tetamu-tetamu-Mu yang lain mendewasakan aku dalam kerjaya dan kehidupan sebagai hamba-Mu.

Pada awalnya, terasa sungguh berat ujian-Mu dalam usaha mencari reda-Mu dan juga memenuhi tanggungjawab tugasan duniaku. Tetapi aku tahu, Kau sentiasa bersamaku dan menunjukkan jalan apabila aku buntu.

Perjuangan mengapai haji mabrur dan perjuangan mencapai prestasi terbaik dalam kerjayaku berjalan seiringan yang tidak boleh dipisahkan.

Melaksanakan rukun Islam kelima ini sememangnya kemuncak perjuangan dalam pelaksanaan ibadat. Begitu juga cabarannya yang menguji kemuncak kesabaran dan keimanam. Sesungguh baru aku mengerti dalam usaha mendekati diri dengan-Mu, aku perlu juga mendekati mereka yang di sekelilingku. Mereka yang seagama, sebangsa atau sehamba kepada-Mu.

Jika gagalnya hubungan dengan manusia, haiwan dan juga alam ini, maka ada harga yang perlu kubayar. Itulah pengajaran kuperoleh sepanjang berihram, berkain putih yang melambangkan pakaian kematianku.

Maafkan aku, jika ada yang terasa hati atau alam yang kusakiti. Sesungguhnya aku mungkin tidak menyedari.

Ganjaran 100,000 mungkin kedengaran enak jika berbakti di tanah suci tetapi ketahuilah, gandaan keburukan yang sama juga akan diperolehi jika tersilap langkah, kata-kata atau niat di hati.

Ketika nukilanku ini dibaca, mungkin aku telah berada di awan biru - satu lagi tempat yang menjadi bukti kekuasaan-Mu, maha pencipta segala makhluk, bumi, langit dan seluruh alam semesta ini.

Mengakhiri bicara, kumohon agar kau kabulkanlah segala doaku untuk diri ini, ibu bapa dan keluarga, sanak saudara, rakan-taulan, jiran tetangga dan umat Islam seluruhnya.

Sesungguhnya aku telah mula merindumu ya Baitullah, semoga kau kembalikan aku lagi ke sini untuk menjadi tetamu-Mu. - UTUSAN ONLINE