Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan berusaha memastikan peruntukan kerajaan Pusat untuk kerja-kerja naik taraf itu dapat dikeluarkan supaya ia dapat dimulakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun katanya, jumlah peruntukan itu belum dapat diputuskan kerana pihaknya perlu menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) jumlah keseluruhan kos naik taraf.

“Kerajaan akan menunggu laporan lengkap daripada JPS tetapi kalau boleh kita mulakan kerja naik taraf itu tahun ini.

“Kita percaya kerja-kerja naik taraf itu akan berlarutan sehingga ke tahun hadapan jadi peruntukan itu akan kita bawa pada pembentangan Bajet 2020,” katanya ketika ditemui selepas melawat lokasi bendungan Muara Sungai Melaka di sini petang ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Tey Kok Kiew serta barisan pemimpin kerajaan negeri daripada DAP.

Kerajaan negeri sebelum ini memaklumkan telah memohon kepada kerajaan Pusat peruntukan sebanyak RM10 juta bagi menaik taraf sistem bendungan itu yang sudah tidak dapat digunakan untuk mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari sebelum ini memaklumkan, sekiranya peruntukan daripada Pusat belum diterima, kerajaan negeri akan mendahulukan peruntukan tersebut bagi kerja-kerja itu.

Guan Eng ketika ditanya mengenai perkara tersebut berkata, kementerian menyambut baik sekiranya kerajaan negeri akan mendahulukan peruntukan tersebut.

“Kalau kerajaan negeri boleh dahulukan, baguslah kita hendak bantu bersama jadi terpulanglah kepada kerajaan negeri lagi pun untuk membuka tender terbuka atau tidak ia memakan masa,” katanya. - UTUSAN ONLINE