Gesaan itu disuarakan oleh Pengerusi Citizens International, S.M. Mohamed Idris yang menyeru agar kenyataan mengutuk tindakan yang sengaja menimbulkan kebencian terhadap umat islam segera dikeluarkan oleh OIC. 

Beliau berkata, tindakan itu penting bagi menghentikan segera penyebaran Islamofobia dan OIC perlu memainkan peranan efektif dengan menyuarakannya pada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman pembunuhan yang dilakukan oleh pengganas pelampau kulit putih itu kerana pemimpin politik yang terkenal dengan sentimen Islamofobia iaitu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan bekas Setiausaha Luar Britain, Boris Johnson dan pernah menyebarkan kempen menentang orang Islam mesti bertanggungjawab terhadap pembunuhan ini. 

“Ucapan takziah mereka sekalipun tidak akan mampu membersihkan darah mangsa yang terkorban kerana pelampau kulit putih sentiasa menjadikan Trump sebagai pemimpin dan inspirasi mereka. 

“Malah, pengganas yang berasal dari Australia itu telah menerbitkan satu kesilapan pada muka surat 74 yang memuji Trump sebagai ‘simbol identiti kulit putih yang baharu’ dan ini jelas menzahirkan bahawa Islamofobia berada di tengah-tengah kerajaan Barat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Mohamed berkata, pelampau kulit putih mempunyai rangkaian antarabangsa tidak rasmi bagi melaksanakan kempen anti Islam di seluruh dunia. 

“Siasatan Guardian tahun lalu mendedahkan bahawa bekas pemimpin English Defence League (EDL), Tommy Robinson yang secara jelas melancarkan kempen anti Islam telah menerima bantuan kewangan, pengaruh politik dan sokongan moral daripada pelbagai individu termasuk daripada tentera AS, Australia dan Rusia. 

“Lebih membimbangkan adalah kerajaan Barat tidak pernah mengambil tindakan terhadap individu, pemikir dan media yang mencetuskan kebencian terhadap umat Islam di sana,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE