Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun sebahagian besar kuarters polis telah dinaik taraf dengan ciri-ciri dan kemudahan yang lebih baik, masih ada yang perlu diubah suai ekoran faktor usia dan telah lama digunakan.

“Difahamkan ada sesetengah anggota polis terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membaiki kuarters yang mereka duduki bersama keluarga. Keputusan kerajaan untuk membaikpulih kuarters yang uzur di seluruh negara amat tepat pada masanya.

“Mereka berhak untuk mendapatkan pembelaan kerana sanggup mempertaruhkan nyawa demi keselamatan orang awam serta keamanan negara. Saya sendiri pernah melawat beberapa kuarters polis dan jelas kelihatan masih ada yang uzur dan memerlukan penyelenggaraan dan penambahbaikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Lam Thye berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan syor supaya gaji anggota polis dinaikkan dalam usaha meningkatkan moral dan integriti, sekali gus mengurangkan bebanan kos sara hidup golongan itu.

Menurutnya, anggota polis pangkat rendah seperti sarjan dan ke bawah yang bertugas di bandar besar berhadapan dengan cabaran kos sara hidup yang tinggi.

Selain itu katanya, kerajaan perlu memastikan persekitaran kerja yang baik bukan sahaja untuk anggota polis bertugas tetapi juga bagi keselesaan orang ramai yang berurusan dengan mereka. - UTUSAN ONLINE