Siti Hajjar Ahmad

Malah tanpa berselindung gadis berusia 24 tahun itu memberitahu, permintaan dan jualan nasi lemaknya kini meningkat 10 kali ganda sejak kisahnya tersebar luas di media sosial pada pertengahan Ogos lalu.

“Sebelum ini, saya hanya menjual 30 bungkus sehari namun selepas kisah saya diviralkan jualan meningkat kepada 200 hingga 300 bungkus sehari dan pernah mencecah kepada 336 bungkus.

“Alhamdulillah kini rezeki semakin bertambah, sasaran saya adalah untuk membuka kedai ‘nasi lemak anak dara’, saya sedang berusaha mengumpul modal untuk merealisasikan impian saya itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut anak kelahiran Su­ngai Petani, Kedah yang baru sahaja menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Johor, sebelum ini dia telah ditawarkan pekerjaan sebagai jurutera namun terpaksa menolaknya kerana mahu me­ngumpul dana bagi memperkembangkan perniagaan nasi lemak­nya itu.

“Apapun saya tetap akan jadi jurutera apabila perniagaan saya sudah berkembang maju, bila sudah ada kedai dan ramai pekerja, ketika itu mungkin saya akan jadi jurutera kerana itu memangnya impian saya dan ibu,” jelasnya.

Tambah anak ketiga daripada lima beradik itu, pada peringkat awal, tujuan sebenar dia menjual nasi lemak adalah kerana mahu menyara diri sendiri sekali gus tidak mahu membebankan ibunya yang merupakan ibu tunggal.

“Di samping itu, saya juga ada menjalankan perniagaan menjual tudung secara dalam talian de­ngan menggunakan jenama sendiri iaitu Qaseh Stailista,” ujarnya.