Isham Jalil
ISHAM

Saya mempunyai sedikit sebanyak latar belakang dalam bidang pelaburan dan kewangan selain pernah bekerja dalam bidang ini serta mempunyai sarjana kewangan dari Wharton, sekolah kewangan tertua di dunia.

Saya ringkaskan sebab-sebab kerugian ini dengan bahasa yang mudah difahami ramai seperti berikut:

Khazanah rugi sebab aset-asetnya jatuh nilai sebab pasaran saham yang tidak memberangsangkan.

Pasaran saham tidak memberangsangkan sebab keadaan ekonomi negara yang merudum.

Ekonomi negara merudum antara sebab utamanya ialah pelabur lari akibat ketidakcekapan pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan dasar-dasar mereka yang meranapkan ekonomi negara serta kesan beberapa tindakan mereka seperti berikut:

Sebagai contoh, dasar cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kejatuhan eksport akibat hubungan tidak baik dengan negara-negara pengimport hasil Malaysia, kehilangan pekerjaan rakyat, kos sara hidup rakyat meningkat, kejatuhan pasaran kepenggunaan domestik seperti rakyat tidak berbelanja, ketidakstabilan politik kerajaan PH, halatuju ekonomi yang malap serta pelbagai lagi.

Aset-aset Khazanah dalam pelaburan-pelaburan mereka dan juga dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk yang disenaraikan seperti Telekom Malaysia (Telekom), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan sebagainya telah jatuh nilai serta harga akibat sebab-sebab di atas.

Apabila aset-aset ini dinilai secara nilai pasaran terkini atau ‘mark-to-market’ kepada nilai semasa atau harga pasaran semasa di bursa saham, maka nilainya jatuh dan terpaksa direkod sebagai kerugian.

Kerugian ini mencecah berbilion ringgit.

Apabila Menteri Ekonomi atau Menteri Kewangan PH cuba menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) berkenaan hal ini, ia langsung tidak masuk akal dan umpama menganggap rakyat mudah diperbodohkan.

Mereka sebenarnya menembak kaki sendiri.

Kerugian ini adalah salah pentadbiran Kerajaan PH sendiri dan dasar-dasar mereka.

Mereka tidak boleh lagi salahkan orang lain.

Semasa pentadbiran Kerajaan BN dahulu, Khazanah tidak pernah rugi sebegini walaupun semasa krisis ekonomi ‘sub-prime’ pada tahun 2008 di mana syarikat pelaburan utama negara jiran iaitu Singapura, Temasek rugi beratus juta dolar.

Khazanah mencatatkan keuntungan dan peningkatan nilai aset sebanyak berbilion ringgit semasa pentadbiran BN, namun sebaliknya berlaku dalam tempoh hanya 10 bulan sahaja ketika PH memerintah.

Apabila Khazanah dan syarikat-syarikat ini rugi, maka ramai lagi rakyat dijangka dibuang kerja.

Dan kerajaan PH akan menjadikan kerugian ini sebagai alasan untuk menjual lagi aset-aset kerajaan.

Kedua-dua kesan di atas akan menekan lagi rakyat dan merugikan negara.

KESIMPULAN: Kerajaan PH dan menteri-menteri PH ini memang hancur. Rakyat semakin susah dan tertekan kerana mereka.

Kita perlu berbuat sesuatu.

***Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ia sama sekali tidak semestinya mencerminkan pendirian Utusan Malaysia dan Utusan Online.