Menurut Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, penyertaan koperasi kali ini adalah sebagai persediaan untuk melihat sejauh mana usaha pihaknya untuk membantu para usahawan tempatan yang menyertai program ini.

Katanya, koperasi itu dijangka akan menawarkan sesi taklimat dan panduan kepada para usahawan di setiap daerah selepas ini bagi memastikan setiap daerah mempunyai koperasi mereka sendiri.

“Hari ini kita lihat koperasi merupakan salah satu cara membantu para usahawan dan ini salah satu kelainan yang kita bawa bawa kali ini pada Fiesta MED 2019.

“Kementerian menyasarkan tahun ini penyertaan koperasi akan membantu meningkatkan jualan para usahawan di mana segala produk itu dijual di semua koperasi SDSI di setiap daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis penutup Fiesta MED yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob di MITC di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi negeri, Norhizam Hassan Baktee yang mewakili Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawanan, Wan Suraya Wan Mohd. Radzi.

Fiesta MED disertai 144 pempamer dan menyediakan sejumlah 250 gerai jualan dan pameran termasuk SDSI dan food truck dan ia terbuka secara percuma kepada para usahawan, bakal usahawan, belia dan orang ramai.

Sehingga pagi ini, program SDSI itu memperoleh hasil jualan tunai hampir RM300,000 manakala nilai potensi jualan produk yang dijangka diterima sepanjang ia berlangsung adalah kira-kira RM10 juta melalui padanan perniagaan.

Fiesta MED anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dengan kerjasama Kumpulan Utusan melalui anak syarikatnya, Media House Entertainment (MHE).

Ia turut disertai semua agensi di bawah kementerian antaranya TEKUN Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKN), Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, PROTEGE, MAGIC, Institut Latihan Keusahawanan Negara (INSKEN) dan UDA Holdings. - UTUSAN ONLINE