Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada awal Jun lalu, mangsa yang berusia 29 tahun berurusan dengan seorang individu untuk pembelian tiket penerbangan pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke London untuk lima orang pada 13 Oktober hingga 23 Oktober depan.

"Pada 13 Jun dan 25 Jun lalu, mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank atas nama sebuah syarikat agensi pelancongan  sebanyak RM11,530 melalui tiga transaksi.

"Selepas pembayaran dibuat, suspek menyerahkan tangkap layar tempahan tiket penerbangan kepada mangsa yang selepas itu membuat semakan dengan Emirates Airlines dan mendapati tiada pembelian tiket yang dibuat ke atas nama mangsa dan ahli keluarganya," katanya di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, mangsa menghubungi suspek bagi bertanyakan berhubung tiket penerbangan itu namun pelbagai alasan diberi.

"Mangsa berasa tertipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya. - UTUSAN ONLINE