Dalam kepayahan itu, Selamah sedikit lega setelah mengetahui Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bulan lalu bahawa Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh RM600 kepada pekebun kecil getah dengan dua kali bayaran.

Namun nampaknya harapan tersebut tidak menjanjikan kebahagian apabila sehingga ke saat ini dia dan suami tidak pernah dihubungi RISDA berhubung perkara itu.

Menurut Selamah, dia tidak pernah dihubungi RISDA sehingga kini dan tidak tahu bagaimana cara untuk memohon bantuan tersebut.

“Sejak pak long (Mamat) buat pembedahan penyakit angin pasang lima tahun lalu, kami tak menoreh lagi hingga ke hari ini. Kebun getah pun jauh dari sini, kira-kira 15 kilometer.

“Mujurlah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kese­lamatan Kampung (JKKK) Lot Seri Jaya bagi kebenaran kami bercucuk tanam di atas tanah rezab kerajaan di bawah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Lot Seri Jaya di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selamah turut membayangkan bakal dirundung malang bertimpa kerana bimbang terpaksa mencari pendapatan lain sekiranya kerajaan mengambil balik tanah diusahakannya untuk diserahkan kepada peserta RTB.

“Mak long pernah tanya orang pertanian (kakitangan Jabatan Pertanian) tentang bantuan baja, mereka datang jenguk tiga empat kali pada tahun lalu tapi sehingga kini masih tak tahu jawapan,” rintihnya.

Justeru itu, setiap hari dia akan ke kebun dari pukul 6.30 pagi hingga 11 pagi dan setelah pulang dari kebun, sayur-sayur akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum dipasarkan di Pasar Binjai dekat sini pada sebelah petang.

“Namun syukurlah pak long dan Eton (anaknya) tolong ta­nam dan petik sayur untuk dijual di Pasar Binjai, dapatlah juga kami sekeluarga buat belanja. Bukan banyak pun sekadar RM700 sebulan dan kena bahagi dua dengan Eton pula,” katanya yang tinggal bersama dua lagi cucunya.

Antara tanaman diusahakan Selamah ialah kacang panjang, mentimun besar, mentimun kecil, serai, petola dan ulam-ulaman, di samping sayur-sayuran yang dibeli dari penjual lain untuk dijual semula.

Sementara itu, suaminya, Mamat sempat mencelah sambil mengakui mereka berdua ada menerima wang daripada anak-anak namun dia tidak mahu membebankan mereka yang terpaksa menanggung keluarga masing-masing.