Begitu juga masalah-masalah lain yang sering meniti di bibir pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang semuanya bagi peneroka, itu perkara ranting sahaja.

Realiti sekarang pun kebun mereka dikendalikan Felda ‘A sampai Z’, hanya peratusan kecil yang menguruskan sendiri. Kebanyakan mereka hujung bulan, mengambil ‘gaji’.

Justeru, ceritalah seribu kebaikan dibuat kerajaan sekarang pun, ia tetap dilihat kurang baik warga Felda berbanding kerajaan terdahulu. Sebabnya pendapatan bersih bulanan mereka tinggal ratusan ringgit sahaja.

Sedangkan ketika kemuncak harga sawit pada 2012 dan 2013, peneroka di wilayah Jengka, Pahang misalnya mampu memperoleh ‘gaji’ bersih RM4,000 hingga RM5,000 sebulan atau lebih, bergantung pengeluaran.

Memanglah naik turun harga komoditi bukan kerajaan tentukan, tetapi bagi peneroka, kerajaan kena buat sesuatu. Setelah potong pinjaman, potong kos pengurusan dan lain-lain, tinggallah RM500 malah ada bulan tertentu yang lebih rendah.

Ayat popular bila tengok slip, ‘nak makan apa?’. Justeru kementerian terlibat, perlu lipat gandakan usaha mencari pasaran di peringkat antarabangsa dan pada sama menangkis serangan terhadap sawit.

Dan serangan ke atas sawit serta komoditi negara bukan benda baharu sampai perlu nak berdrama. Dari era mendiang Tun Dr. Lim Keng Yaik lagi Malaysia ke depan menangkis serangan. Cuma dahulu sawit lebih kepada soal kesihatan dan kini kepada alam sekitar.

Salah seorang penerima Anugerah Merdeka, Tan Sri Dr. Augustine Ong dan jasa besar beliau membuktikan secara saintifik tuduhan orang putih ke atas sawit tidak benar, sebaliknya manfaat kesihatan sawit jauh tinggi berbanding minyak masak lain.

Pada masa sama, perancangan menambah pendapatan dengan tanaman kontan serta ternakan harus disegerakan. Begitu juga musang king menggantikan sawit yang pernah dibangkitkan. Kenal pasti potensi komoditi baru menggantikan sawit, jika tidak semua, sebahagian. Ini peneroka dan generasi kedua kena bersedia.

Tidak terkecuali, cadangan cantuman tanah-tanah peneroka untuk dijadikan estet. Kalau boleh membantu meningkatkan hasil walau tak banyak, kenapa tidak dipertimbangkan. Cuma hal ini perlu dijelaskan sejelas-jelasnya.

Bukan apa, sekarang ini pun sebahagian besar kawasan tanah rancangan sudah macam estet kerana Felda yang uruskan hampir semuanya. Dan bab ini jangan diambil mudah, bila libatkan tanah hutan belantara yang diteroka dengan tulang empat kerat puluhan tahun dulu sehingga menjadi ladang dan penempatan, sesiapa pun sensitif. -UTUSAN ONLINE