Menurut beliau, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersengkang mata mempertahankan tanah air, mengekang pencerobohan kumpulan ekstremis di kawasan Esscom dan menghalang penularan ideologi Daesh.

"Saya amat kecewa, sedih dan marah dengan kenyataan ahli perniagaan itu yang menuduh ATM kita hanya makan dan tidur.

"Sedangkan selama ini pasukan itulah yang bersengkang mata serta mencagarkan nyawa dan darah demi memastikan kita dapat terus hidup dalam suasana negara yang aman, selamat dan sejahtera," katanya dalam kenyataan seperti dipetik UMNO Online hari ini.

Yew Yin menarik balik kenyataan yang dibuatnya pada 12 Ogos lalu yang mendakwa anggota tentera hanya makan dan tidur.

Beliau mengumumkan perkara itu dalam laman blog kendaliannya hari ini sambil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

Tambah Ahli Parlimen Sembrong itu, ketika bencana besar seperti banjir di Kelantan dan Pulau Pinang serta Sungai Kim Kim, anggota ATM yang paling awal tampil memberi bantuan.

Katanya, namun atas dasar tanggungjawab dan kecintaan terhadap negara, mereka sanggup berkorban apa sahaja.

"Itu belum termasuk kejayaan-kejayaan ATM yang saya sendiri saksikan sewaktu menjadi Menteri Pertahanan," ujarnya.

Beliau juga mempersoalkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang belum lagi memberi sebarang kenyataan.

"Saya juga tertanya-tanya di mana suara Menteri Pertahanan dalam membela dan mempertahankan warga ATM di saat mereka dihina serta diperlekehkan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE