Perkara itu ditegaskan oleh Datuk Dr. Anwar Ridhwan, Datuk Dr. Baharuddin Zainal, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Salleh dan Datuk Dr. Zurinah Hassan dalam kenyataan bersama hari ini sebagai mengulas tekanan yang diberikan oleh Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong).

Menurut mereka, mungkin sebahagian besar masyarakat Cina tidak mengetahui bahawa bahasa Melayu mempunyai dua sistem tulisan iaitu tulisan rumi dan tulisan Jawi.

Jelas mereka lagi, tulisan Jawi telah beratus-ratus tahun digunakan oleh masyarakat Melayu di alam Melayu untuk tujuan menulis karya sastera, ilmu pengetahuan dan sebagainya.

“Oleh yang demikian kami Sasterawan Negara berpendapat wajarlah warga Malaysia menyantuni tulisan Jawi yang sejarah pertumbuhan dan perkembangannya telah melalui tempoh yang lama.

“Kami berharap Kementerian Pendidikan meneruskan idea memperkenalkan tulisan Jawi di semua sekolah di Malaysia, tanpa berundur dan tanpa mengalah kepada tekanan daripada mana-mana pihak,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan tersebut adalah reaksi kepada desakan Dong Zong yang membantah pengenalan tulisan khat atau Jawi dalam buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020 termasuk di sekolah vernakular, sehingga akhirnya membuatkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan sikap pertubuhan Cina itu sebagai rasis.

Menurut empat Sasterawan Negara terbabit, selama ini masyarakat Melayu boleh dikatakan tidak mencampuri perkembangan tulisan Cina dan apabila Dong Zong mengusik dan mencabar perasaan orang Melayu, pastilah orang Melayu tidak menyukainya.

“Konfucius pernah berkata ‘apa yang kita sendiri tidak menyukainya, jangan lakukan kepada orang lain’.

“Kami juga berharap pihak Dong Zong membatalkan petisyen (mengumpul tandatangan sokongan) mereka, dan lebih berhati-hati membuat kenyataan. Kata Konfucius, ‘cepat selesaikan urusan dan berhati-hati dalam pertuturan’,” menurut mereka lagi.-UTUSAN ONLINE